|
Home
> Course Info
|
(Note: The above information
may not be up-to-date. It merely serves as a guide. Kindly refer to
the relevant government agencies for the latest ruling and
requirements.) References:
http://www.mohe.gov.my/ website |
PUSAT-PUSAT PENGAJIAN DAN
PROGRAM PENGAJIAN YANG DITAWARKAN
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
menawarkan lapan belas (18) Program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan melalui
lapan (8) buah Pusat Pengajian seperti berikut:
1) Pusat Pengajian
Kejuruteraan Mikroelektronik
a. Sarjana Muda
Kejuruteraan (Kejuruteraan Mikroelektronik) - RK05
Program ini direkabentuk untuk membekalkan tenaga mahir yang juga cekap dan
berkebolehan mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari untuk menyokong
pertumbuhan pesat industri mikroelektronik di negara kita. Graduan program ini
akan mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam kedua-dua bidang rekabentuk dan
fabrikasi litar terkamir (integrated circuits, ICs), dengan pengkhususan di
bidang fabrikasi litar terkamir. Peluang kerjaya para graduan di bidang ini amat
meyakinkan.
b. Sarjana Muda
Kejuruteraan (Kejuruteraan Elektronik) - RK86
Program ini telah diperkenalkan untuk menentukan Malaysia terus mampu berdaya
saing dalam industri semikonduktor. Para graduan yang dilahirkan akan boleh
menyumbang sebagai tenaga mahir tempatan yang mempunyai pengetahuan dan
kemahiran mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari dalam bidang-bidang
elektronik dan rekabentuk serta fabrikasi litar terkamir (integrated circuits,
ICs), dengan pengkhususan dalam merekabentuk sistem-sistem mikroelektronik.
Dengan kelebihan kemahiran secara 'lab-intensive', para graduan akan dapat
menyesuaikan diri dalam masa yang singkat, sebaik sahaja berkhidmat sama ada di
sektor industri mahupun penyelidikan dan pembangunan (R&D).
c.
Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Fotonik) – RKxx
Program ini diperkenalkan sejajar dengan Pelan Pendidikan 2001-2010 untuk
menghasilkan jurutera yang berupaya menangani cabaran-cabaran globalisasi dan K-ekonomi
ke arah mencapai tahap negara maju sepenuhnya. Terdapat permintaan yang tinggi
untuk jurutera fotonik yang mempunyai ilmu pengetahuan asas yang tinggi di dalam
bidang asas semikonduktor dan fotonik. Fotonik merupakan bidang sains dan
teknologi yang melibatkan penjanaan dan pengawalan foton, terutamanya dalam
spektrum cahaya nampak dan hampir kepada cahaya infra-merah. Fotonik adalah
sains yang berhubung rapat dengan optik kuantum dan opto-elektronik.
Opto-elektronik merupakan bidang fokus fotonik yang melibatkan elemen aktif
seperti interaksi elektronik.
2) Pusat Pengajian
Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan
a. Sarjana Muda
Kejuruteraan (Kejuruteraan Komputer) - RK20
Program ini telah diperkenalkan untuk membekalkan tenaga pekerja mahir serta
cekap dalam merekabentuk perkakasan dan perisian di mana penumpuan diberikan
kepada rekabentuk sistem terbenam dan sistem komputer. Ia selaras dengan
pertumbuhan pesat industri perkakasan dan perisian komputer di Malaysia. Dengan
berbekalkan kelebihan sistem pengajaran secara 'lab-intensive' perisian-perisian
dan perkakasan-perkakasan yang berkaitan dan terkini diperkenalkan di dalam
pengajaran. Dengan pengetahuan tersebut para graduan akan mempunyai keyakinan
yang tinggi serta dapat menyesuaikan diri dengan cepat sama ada dalam sektor
industri atau R&D ke arah merealisasikan wawasan 2020 bagi mencapai status
negara maju.
b. Sarjana Muda
Kejuruteraan (Kejuruteraan Perhubungan) - RK53
Program ini diperkenalkan untuk menghasilkan graduan profesional yang mempunyai
pengetahuan dan kemahiran khusus dalam bidang kejuruteraan perhubungan yang
berkait rapat seperti industri telekomunikasi tanpa kabel, teknologi sistem
gelombang mikro, sistem gentian optik, sistem perhubungan satelit dan teknologi
antena. Graduan program Sarjana Muda Kejuruteraan Perhubungan berpeluang
menceburi industri telekomunikasi negara yang kini pesat membangun. Para lulusan
juga mempunyai pilihan kerjaya yang luas dalam sektor pengendalian perkhidmatan
telekomunikasi sama ada di sektor industri, penyelidikan dan pembangunan (R&D)
serta firma-firma perundingan.
3) Pusat Pengajian
Kejuruteraan Sistem Elektrik
a. Sarjana Muda
Kejuruteraan (Kejuruteraan Sistem Elektrik) - RK23
Program ini tertumpu kepada beberapa bidang utama iaitu sistem kuasa, mesin
elektrik dan kejuruteraan voltan tinggi. Pelajar yang mengikuti kursus ini akan
mempelajari keseluruhan operasi di dalam sistem kuasa merangkumi penjanaan,
penghantaran, perlindungan dan pengagihan kuasa. Selain itu, kursus ini turut
meliputi rekabentuk mesin elektrik dan teknik-teknik kawalan. Pelajar juga akan
mempelajari bidang kejuruteraan voltan tinggi bagi mengukuhkan pengetahuan
mereka. Secara umumnya bidang kejuruteraan sistem elektrik mempunyai skop yang
luas terutamanya di sektor penjanaan kuasa dan pembaharuan tenaga elektrik.
b. Sarjana Muda
Kejuruteraan (Kejuruteraan Elektronik Industri) - RK45
Program ini tertumpu kepada proses dan teknik kawalan mesin industri yang
menggunakan litar elektronik. Pelajar yang mengambil kursus ini akan mempelajari
aplikasi dan kawalan litar-litar elektronik di dalam sistem pengaturan, kawalan
motor dan kawalan proses. Secara umumnya, bidang elektronik industri merangkumi
skop yang luas terutamanya di dalam penggunaan robot, pemacu halaju berubah,
pengawal mesin PLC dan sebagainya.
4) Pusat Pengajian
Kejuruteraan Bahan
a. Sarjana Muda
Kejuruteraan (Kejuruteraan Bahan) - RK12
Program ini bertujuan melahirkan jurutera bahan yang berkemahiran dan berilmu
pengetahuan tinggi terutama dalam bidang asas sains bahan, sifat-sifat bahan,
pengujian, pemilihan dan pemprosesan bahan iaitu terdiri daripada semikonduktor,
superkonduktor, seramik, polimer dan komposit yang amat diperlukan dalam usaha
menghasilkan produk dengan kebolehpercayaan yang tinggi di dalam lapangan
automotif, penerbangan, aeroangkasa dan elektronik.
Sejajar dengan Pelan Pendidikan
2001-2010, program ini bertujuan menjayakan hasrat negara untuk menghasilkan
jurutera bahan yang berupaya menangani cabaran-cabaran globalisasi dan K-ekonomi
ke arah mencapai tahap negara maju sepenuhnya.
b. Sarjana Muda
Kejuruteraan (Kejuruteraan Metalurgi) - RK56
Program ini bertujuan untuk menyediakan tenaga mahir bagi memenuhi permintaan
yang sangat tinggi terhadap jurutera metalurgi di dalam sektor industri
pengekstrakan logam daripada bijih serta pemprosesan logam seperti penggelekan,
penyemperitan dan penuangan. Keadaan ini juga disokong oleh pertumbuhan pesat
sektor industri besi dan keluli itu sendiri dalam menampung kepesatan
pembangunan negara seperti mana respon yang dibuat oleh MISIF (Malaysian Iron
Steel Industries Federation). Selain itu, perkembangan kejuruteraan dalam bidang
ujian tak musnah turut menuntut keupayaan jurutera metalurgi yang berkemahiran
tinggi dalam usaha menghasilkan produk bermutu pada kos yang optimum.
-
Sarjana Muda
Kejuruteraan (Kejuruteraan Polimer)- RK32
Program ini bertujuan melatih
pelajar bagi menyediakan tenaga mahir untuk memenuhi permintaan yang sangat
tinggi terhadap jurutera yang mempunyai ilmu pengetahuan asas yang tinggi di
dalam asas sains polimer, sifat-sifat polimer, pengujian, rekabentuk produk/
proses, pemilihan bahan dan pemprosesan polimer. Pertumbuhan pesat industri
berkaitan bahan polimer seperti industri plastik, getah, elektronik, automotif,
aeroangkasa, bio-material dan lain-lain industri pembuatan berkaitan bahan
polimer di negara kita merupakan pendorong utama kepada program ini. Selain itu,
perkembangan pesat dalam bidang komposit berkaitan bahan polimer juga memerlukan
sokongan dari jurutera yang berkemahiran tinggi bagi mengaplikasikan pengetahuan
dan sumber bagi menyumbang kepada penyelesaian pelbagai permasalahan berkaitan
kejuruteraan polimer.
5) Pusat Pengajian
Kejuruteraan Pembuatan
a. Sarjana Muda
Kejuruteraan (Kejuruteraan Pembuatan) - RK13
Objektif utama program ini adalah untuk melatih pelajar dalam bidang
kejuruteraan pembuatan melalui penjanaan dan penyebaran teknik-teknik berinovasi
dalam pengajaran dan penyelidikan. Perjalanan kursus telah dirangka ke arah
melahirkan jurutera yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam mengaplikasikan
teori-teori yang dipelajari. Pelajar-pelajar dibekalkan dengan kebolehan
merekabentuk, membangun dan melaksanakan sistem bersepadu yang menggabungkan
unsur-unsur kemanusiaan, bahan, peralatan, maklumat dan tenaga.
Dengan itu, kemahiran yang
diterapkan akan membantu melahirkan jurutera yang berkebolehan menangani
sebarang masalah dalam pelbagai industri. Graduan kursus ini juga dilatih supaya
bersikap profesional dalam menjalankan tugas dengan mempraktikkan proses
pembelajaran berterusan sama ada secara formal atau tidak formal.
Graduan jurusan ini mempunyai
pengetahuan berbentuk 'inter-disciplinary', berkebolehan dalam bidang teknikal,
pengurusan industri dan teknologi. Graduan ini berpeluang untuk bertugas sebagai
jurutera pembuatan dalam pelbagai industri seperti automotif, elektronik,
farmasiutikal, tekstil serta industri pemprosesan makanan.
b. Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Rekabentuk Produk)
– RK84
Objektif program ini adalah untuk melahirkan tenaga manusia di peringkat
ikhtisas yang mahir serta mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang
kejuruteraan rekabentuk produk. Para graduan juga akan diterapkan dengan budaya
ilmu supaya mempunyai personaliti dan keperibadian yang unggul dan mampu
berdikari sebagai usahawan profesional.
Terdapat permintaan yang tinggi
untuk jurutera rekabentuk produk yang mempunyai ilmu pengetahuan asas dalam
bidang teknologi pembuatan, sifat-sifat bahan, rekabentuk, pengujian, pemilihan
dan pemprosesan bahan untuk menjadi produk kegunaan pelanggan seperti dalam
industri automotif, aeroangkasa, elektronik dan sebagainya.
Prospek pekerjaan dan kerjaya para
graduan setelah tamat kursus amatlah memberangsangkan.
6) Pusat Pengajian
Kejuruteraan Mekatronik
a. Sarjana Muda
Kejuruteraan (Kejuruteraan Mekatronik) - RK24
Program ini bertujuan melahirkan tenaga profesional yang mahir dan mempunyai
semangat profesionalisme yang tinggi serta mempunyai pengetahuan asas yang kukuh
dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik. Justeru itu, struktur kurikulum telah
dibentuk dengan memberi penekanan kepada pembelajaran secara ‘lab-intensive’
agar pelajar mempunyai kebolehan untuk merekabentuk, mengendali dan
menyelenggarakan peralatan-peralatan elektrik & elektronik, mekanikal & kawalan,
perisian komputer dan teknologi maklumat. Graduan mempunyai prospek pekerjaan
yang luas sama ada dalam syarikat-syarikat swasta, industri, jabatan kerajaan
atau badan-badan berkanun. Ia merangkumi bidang-bidang seperti bidang
kejuruteraan, pengeluaran, penyelidikan, rekabentuk, analisis, pembangunan,
pengujian dan lain-lain bidang yang berkaitan.
b. Sarjana Muda
Kejuruteraan (Kejuruteraan Mekanikal) – RK08
Objektif program ini adalah bertujuan untuk melahirkan tenaga mahir di peringkat
iktisas serta mempunyai semangat profesionalisme dan pengetahuan asas yang
kukuh dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.
Struktur kurikulum juga dibentuk
dengan memberi penekanan secara ‘lab-intensive’ agar para graduan mempunyai
kebolehan serta kepakaran dalam merekabentuk dan menghasilkan produk serta mampu
mengadaptasi perubahan-perubahan sektor pekerjaan yang bakal ditempuhi. Selain
daripada itu, para graduan diwajibkan menjalani latihan industri bertujuan
melengkapkan mereka dengan pengetahuan teknikal alam kerja sebenar di industri .
Para graduan mempunyai prospek
pekerjaan yang meluas di sektor awam dan swasta iaitu industri pembuatan,
pengeluaran, institusi pembangunan dan penyelidikan, jabatan-jabatan kerajaan,
badan berkanun dan lain-lain. Graduan juga bakal memperolehi kompetensi ilmu
asas ‘broad-based knowledge’ yang perlu dimiliki setelah tamat kursus. Graduan
juga berpeluang menjadi perekabentuk dan pembangun segala aspek yang berkaitan
mekanikal, thermal, aliran bendalir serta membangun produk-produk kejuruteraan
dan produk pintar (smart products) yang mengintegrasikan bidang elektronik,
mikropemproses, sistem kawalan dan bidang mekatronik.
c. Sarjana Muda
Kejuruteraan (Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan) - RK85
Program Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan berperanan untuk menghasilkan
jurutera yang berkemampuan tinggi dari sudut teori dan praktikal yang diperlukan
oleh pihak industri samada dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, rekabentuk,
pembuatan, penyelenggaraan, pemasaran dan pengurusan. Struktur kurikulum yang
dibentuk menekankan kaedah pengajaran dan pembelajaran ‘lab-intensive’ iaitu
hampir keseluruhan subjek teras mempunyai komponen teori dan amali.
Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan
merupakan bidang baru yang menggabungkan ilmu kejuruteraan elektrikal,
elektronik, mekanikal dan bahan serta ilmu perubatan seperti anatomi, fisiologi,
dan radiologi. Hasil dari gabungan-gabungan ilmu tersebut digunakan untuk
membangunkan teknologi terkini dalam bidang perubatan.
Bakal graduan kursus ini mempunyai
pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi sebagai seorang jurutera bioperubatan
dengan pengaplikasian kejuruteraan elektronik, pemahaman dari sudut sistem
manusia dan biomekanik serta manipulasi bahan yang sesuai untuk tubuh manusia
kepada instrumen bioperubatan dan peralatan perubatan yang lain. Selain daripada
kursus teras kejuruteraan, pelajar diberikan juga kemahiran sokongan terutamanya
di dalam bidang ‘soft skills’ seperti etika, pengurusan, keusahawanan,
komunikasi dan IT.
Mereka yang bergraduasi dari program
Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan bakal berkhidmat di hospital-hospital
kerajaan mahupun swasta, syarikat-syarikat penyelenggaraan dan servis peralatan
perubatan, institusi penyelidikan dan pembangunan produk perubatan serta juga
kilang-kilang dan syarikat-syarikat berkaitan dengan peralatan elektronik.
7) Pusat Pengajian
Kejuruteraan Bioproses
a. Sarjana Muda
Kejuruteraan (Kejuruteraan Bioproses) – RK28
Program ini bertujuan melahirkan tenaga mahir di peringkat profesional serta
mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang kejuruteraan bioproses dan juga
bidang berkaitan seperti bioteknologi yang semakin berkembang selaras dengan
pelan perindustrian negara dan Dasar Bioteknologi Negara. Untuk itu, graduan
yang dilahirkan mampu untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran untuk
berdepan dan menyelesaikan masalah kejuruteraan, terutamanya kejuruteraan
bioproses. Disamping itu, graduan yang dihasilkan dapat memenuhi aspirasi negara
menjadikan bidang bioteknologi sebagai suatu bidang dalam penjanaan sektor
ekonomi negara melalui perkembangan bidang teknologi bioproses yang merupakan
teras dan pendokong utama dalam proses pengkomersialan hasil penyelidikan
bioteknologi.
Struktur kurikulum telah dibentuk
dengan memberi penekanan kepada pembelajaran secara ‘lab-intensive’. Lebih
kurang 60% dari masa pertemuan merupakan aktiviti praktikal yang merangkumi
amali makmal, pembelajaran berbantu komputer, kerja bengkel, latihan industri
dan projek yang berlandaskan rekabentuk atau penyelesaian masalah teknologi.
Para graduan mempunyai prospek pekerjaan yang luas di mana keperluan terhadap
tenaga profesional dalam bidang kejuruteraan bioproses amat tinggi selaras
dengan matlamat kerajaan untuk memajukan bidang bioproses.
c.Sarjana Muda
Kejuruteraan (Kejuruteraan Biosistem) – RKxx
Program ini diperkenalkan untuk menghasilkan graduan yang profesional dan serba
boleh dalam menangani bidang Kejuruteraan Biosistem yang meliputi pertanian,
keselamatan makanan dan alam sekitar secara keseluruhan. Graduan berpengetahuan
menggabungkan pengunaan prinsip-prinsip kejuruteran dan pelbagai aspek sistem
biologi untuk menjamin kelasterian dan keselamatan sistem pengeluaran,
mekanisasi dan automasi. Latihan secara ‘lab-intensive’ dan latihan industri
akan menambahkan kemahiran para garaduan untuk menyesuaikan diri di alam
perkerjaan dengan cepat.
Graduan program ini berpeluang
menceburi bidang pertanian, perladangan, penyelidikan dan pengurusan biosistem
selaras dengan matlamat negara untuk memajukan sektor industri pertanian.
Keperluan terhadap tenaga profesional dalam bidang ini adalah dalam industri
perladangan, jabatan-jabatan kerajaan , badan-badan berkanun,
institusi-institusi penyelidikan (kerajaan dan swasta) dan badan perundingan.
8) Pusat Pengajian
Kejuruteraan Alam Sekitar
a.
Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Alam Sekitar) – RK07
Objektif program ini adalah bertujuan untuk melahirkan tenaga manusia di
peringkat iktisas yang mahir serta mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang
Kejuruteraan Alam Sekitar. Para graduan juga diterapkan dengan budaya ilmu
supaya mempunyai personaliti dan keperibadian yang unggul dan mampu berdikari
sebagai usahawan profesional. Kurikulum Kejuruteraan Alam Sekitar boleh
dikaitkan dengan kurikulum yang dibina berpandukan falsafah pencegahan penjanaan
sisa/sisa minuman dan pendedahan pelajar kepada aspek kejuruteraan sistem
sekitaran (termasuk teknologi elektrik/elektronik/mekanikal/komputer
instrumentasi/kawalan proses dan informatik sekitaran) serta kurikulum yang
holistik dan unik.
Prospek pekerjaan dan kerjaya para
graduan setelah tamat kursus amatlah luas kerana mereka dilatih secara
multidisiplin yang melibatkan kajian mikrobiologi, kimia, ekologi selain dari
prinsip-prinsip kejuruteraan. Antara sektor-sektor yang menawarkan peluang
pekerjaan adalah seperti industri-industri berasaskan komoditi, industri
petrokimia, industri kimia, industri olahan air, air sisa, sisa pepejal, sisa
berbahaya, industri pemprosesan dan pembuatan, institusi-institusi penyelidikan
dan pembangunan dan pendidikan, jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Alam
Sekitar, JPS dan JKR, badan-badan berkanun seperti MARDI, PORIM, SEDC, NIOSH dan
lain-lain serta NGO sekitar dalam dan luar negara.
PUSAT-PUSAT PEMANTAPAN
AKADEMIK
Selain dari pusat-pusat pengajian yang menawarkan program-program ijazah,
terdapat beberapa pusat yang ditubuhkan bagi menyokong kepentingan akademik
UniMAP iaitu:
1) Pusat Kemahiran
Komunikasi & Keusahawanan
Pusat Kemahiran Komunikasi & Keusahawanan (PKKK) adalah sebuah pusat
perkhidmatan akademik. Ia tidak menawarkan apa-apa program akademik yang membawa
kepada penganugerahan ijazah. Sebaliknya, ia menawarkan kursus-kursus keperluan
universiti yang wajib diambil oleh semua pelajar termasuk Badan Berunifrom untuk
pelajar Diploma dan ko-kurikulum untuk pelajar Ijazah Sarjana Muda tanpa mengira
program akademik yang diambilnya. Selain itu, PKKK turut menawar kursus teras
seperti Kemahiran dan Teknologi Dalam Komunikasi dan Jurutera Dalam Masyarakat
untuk pelajar Ijazah Sarjana Muda.
2) Pusat Kerjasama
Industri (Center For Industrial Collaboration, CIC)
Pusat Kerjasama Industri berperanan menjalin hubungan dengan pihak industri dari
pelbagai aspek, terutama dalam program-program yang berkait terus dengan
pembelajaran pelajar. Program seperti Pendedahan Industri (IndEx), Program
Syarahan Industri (InTeLect), Latihan Industri (InTra), Ceramah Industri
(Industrial Talk), Latihan Staf Akademik (Staff Internship) dan lain-lain lagi
diselia dan diselaraskan oleh pusat ini. Selain itu Program Keusahawanan
Industri (IndEnt) juga diselaraskan oleh CIC dan ianya merupakan sebahagian
daripada Kursus Keusahawanan Kejuruteraan. Sebahagian besar dari program ini
wajib diikuti oleh semua pelajar. Maklumat mengenai program-program ini
dihebahkan kepada pelajar dari masa ke semasa.
3) Pusat Kejuruteraan
Pusat Kejuruteraan ditubuhkan bagi mengendalikan makmal dan bengkel umum (gunasama)
yang diperlukan oleh pelbagai program yang ditawarkan di UniMAP. Oleh kerana
program-program kejuruteraan yang dijalankan pada dasarnya menitikberatkan
kepada kaedah 'lab-intensive', maka penekanan yang lebih diberikan kepada amalan
praktikal secara intensif. Di samping itu, Pusat Kejuruteraan juga menyokong
aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di UniMAP. Antara makmal
yang terdapat di sini termasuklah Makmal Fabrikasi PCB, Makmal Teknologi
Mikropemproses, Makmal Asas Komputer, Makmal CAD/CAM, Bengkel Kejuruteraan
Elektrik, Bengkel Kejuruteraan Mekanikal, Makmal Kejuruteraan Pembuatan dan juga
Teaching Factory.
-
Institut
Matematik Kejuruteraan
Institut Matematik Kejuruteraan (IMK)
adalah sebuah pusat bagi merancang menawaran dan pemantauan kurikulum matematik
kejuruteraan di UniMAP. IMK juga berperanan sebagai institut penyelidikan
matematik kejuruteraan dan juga sebagai pusat rujukan dan memberi khidmat
kepakaran dalam bidang kaedah penyelidikan matematik, simulasi, kaedah statistik
dan penyelidikan operasi. IMK juga sebagai pusat latihan bagi masyarakat kampus
dan luar kampus dalam bidang yang berkaitan dengan matematik. IMK menawarkan
kursus teras universiti seperti Matematik Kejuruteraan I, II & III bagi program
ijazah.
MAKLUMAT LANJUT
Maklumat lanjut boleh didapati di
laman web UniMAP di www.unimap.edu.my
atau menghubungi Pejabat Pendaftar (Unit Kemasukan & Rekod Pelajar) seperti
alamat di bawah:
Jabatan Pendaftar
Bahagian Pengurusan Akademik
Unit Kemasukan dan Rekod Pelajar
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
Tingkat 1, Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Jalan Bukit lagi
01000 Kangar, Perlis
Tel: 04-979 8701/8702/8706/8008 (Talian Am)
Faks: 04-979 8703
[Back to
Home]
|