Universiti Malaysia Perlis

 

PUSAT-PUSAT PENGAJIAN DAN PROGRAM PENGAJIAN YANG DITAWARKAN

 

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menawarkan lapan belas (18) Program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan melalui lapan (8) buah Pusat Pengajian seperti berikut:

 

1)   Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik

  • Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Mikroelektronik) - RK05
    Program ini direkabentuk untuk membekalkan tenaga mahir yang juga cekap dan berkebolehan mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari untuk menyokong pertumbuhan pesat industri mikroelektronik di negara kita. Graduan program ini akan mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam kedua-dua bidang rekabentuk dan fabrikasi litar terkamir (integrated circuits, ICs), dengan pengkhususan di bidang fabrikasi litar terkamir. Peluang kerjaya para graduan di bidang ini amat meyakinkan.

 

  • Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Elektronik) - RK86
    Program ini telah diperkenalkan untuk menentukan Malaysia terus mampu berdaya saing dalam industri semikonduktor. Para graduan yang dilahirkan akan boleh menyumbang sebagai tenaga mahir tempatan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari dalam bidang-bidang elektronik dan rekabentuk serta fabrikasi litar terkamir (integrated circuits, ICs), dengan pengkhususan dalam merekabentuk sistem-sistem mikroelektronik. Dengan kelebihan kemahiran secara 'lab-intensive', para graduan akan dapat menyesuaikan diri dalam masa yang singkat, sebaik sahaja berkhidmat sama ada di sektor industri mahupun penyelidikan dan pembangunan (R&D).

 

  • Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Fotonik) – RKxx
    Program ini diperkenalkan sejajar dengan Pelan Pendidikan 2001-2010 untuk menghasilkan jurutera yang berupaya menangani cabaran-cabaran globalisasi dan K-ekonomi ke arah mencapai tahap negara maju sepenuhnya. Terdapat permintaan yang tinggi untuk jurutera fotonik yang mempunyai ilmu pengetahuan asas yang tinggi di dalam bidang asas semikonduktor dan fotonik. Fotonik merupakan bidang sains dan teknologi yang melibatkan penjanaan dan pengawalan foton, terutamanya dalam spektrum cahaya nampak dan hampir kepada cahaya infra-merah. Fotonik adalah sains yang berhubung rapat dengan optik kuantum dan opto-elektronik. Opto-elektronik merupakan bidang fokus fotonik yang melibatkan elemen aktif seperti interaksi elektronik.

 

2)   Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Komputer) - RK20

  • Program ini telah diperkenalkan untuk membekalkan tenaga pekerja mahir serta cekap dalam merekabentuk perkakasan dan perisian di mana penumpuan diberikan kepada rekabentuk sistem terbenam dan sistem komputer. Ia selaras dengan pertumbuhan pesat industri perkakasan dan perisian komputer di Malaysia. Dengan berbekalkan kelebihan sistem pengajaran secara 'lab-intensive' perisian-perisian dan perkakasan-perkakasan yang berkaitan dan terkini diperkenalkan di dalam pengajaran. Dengan pengetahuan tersebut para graduan akan mempunyai keyakinan yang tinggi serta dapat menyesuaikan diri dengan cepat sama ada dalam sektor industri atau R&D ke arah merealisasikan wawasan 2020 bagi mencapai status negara maju.
     

  • Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Perhubungan) - RK53
    Program ini diperkenalkan untuk menghasilkan graduan profesional yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran khusus dalam bidang kejuruteraan perhubungan yang berkait rapat seperti industri telekomunikasi tanpa kabel, teknologi sistem gelombang mikro, sistem gentian optik, sistem perhubungan satelit dan teknologi antena. Graduan program Sarjana Muda Kejuruteraan Perhubungan berpeluang menceburi industri telekomunikasi negara yang kini pesat membangun. Para lulusan juga mempunyai pilihan kerjaya yang luas dalam sektor pengendalian perkhidmatan telekomunikasi sama ada di sektor industri, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta firma-firma perundingan.

3)   Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik

  • Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Sistem Elektrik) -­ RK23
    Program ini tertumpu kepada beberapa bidang utama iaitu sistem kuasa, mesin elektrik dan kejuruteraan voltan tinggi. Pelajar yang mengikuti kursus ini akan mempelajari keseluruhan operasi di dalam sistem kuasa merangkumi penjanaan, penghantaran, perlindungan dan pengagihan kuasa. Selain itu, kursus ini turut meliputi rekabentuk mesin elektrik dan teknik-teknik kawalan. Pelajar juga akan mempelajari bidang kejuruteraan voltan tinggi bagi mengukuhkan pengetahuan mereka. Secara umumnya bidang kejuruteraan sistem elektrik mempunyai skop yang luas terutamanya di sektor penjanaan kuasa dan pembaharuan tenaga elektrik.

 

  • Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Elektronik Industri) ­- RK45
    Program ini tertumpu kepada proses dan teknik kawalan mesin industri yang menggunakan litar elektronik. Pelajar yang mengambil kursus ini akan mempelajari aplikasi dan kawalan litar-litar elektronik di dalam sistem pengaturan, kawalan motor dan kawalan proses. Secara umumnya, bidang elektronik industri merangkumi skop yang luas terutamanya di dalam penggunaan robot, pemacu halaju berubah, pengawal mesin PLC dan sebagainya.

 

4)   Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan

  • Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Bahan) - RK12
    Program ini bertujuan melahirkan jurutera bahan yang berkemahiran dan berilmu pengetahuan tinggi terutama dalam bidang asas sains bahan, sifat-sifat bahan, pengujian, pemilihan dan pemprosesan bahan iaitu terdiri daripada semikonduktor, superkonduktor, seramik, polimer dan komposit yang amat diperlukan dalam usaha menghasilkan produk dengan kebolehpercayaan yang tinggi di dalam lapangan automotif, penerbangan, aeroangkasa dan elektronik.

Sejajar dengan Pelan Pendidikan 2001-2010, program ini bertujuan menjayakan hasrat negara untuk menghasilkan jurutera bahan yang berupaya menangani cabaran-cabaran globalisasi dan K-ekonomi ke arah mencapai tahap negara maju sepenuhnya.

  • Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Metalurgi) -­ RK56

Program ini bertujuan untuk menyediakan tenaga mahir bagi memenuhi permintaan yang sangat tinggi terhadap jurutera metalurgi di dalam sektor industri pengekstrakan logam daripada bijih serta pemprosesan logam seperti penggelekan, penyemperitan dan penuangan. Keadaan ini juga disokong oleh pertumbuhan pesat sektor industri besi dan keluli itu sendiri dalam menampung kepesatan pembangunan negara seperti mana respon yang dibuat oleh MISIF (Malaysian Iron Steel Industries Federation). Selain itu, perkembangan kejuruteraan dalam bidang ujian tak musnah turut menuntut keupayaan jurutera metalurgi yang berkemahiran tinggi dalam usaha menghasilkan produk bermutu pada kos yang optimum.

  • Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Polimer)-­ RK32

Program ini bertujuan melatih pelajar bagi menyediakan tenaga mahir untuk memenuhi permintaan yang sangat tinggi terhadap jurutera yang mempunyai ilmu pengetahuan asas yang tinggi di dalam asas sains polimer, sifat-sifat polimer, pengujian, rekabentuk produk/ proses, pemilihan bahan dan pemprosesan polimer. Pertumbuhan pesat industri berkaitan bahan polimer seperti industri plastik, getah, elektronik, automotif, aeroangkasa, bio-material dan lain-lain industri pembuatan berkaitan bahan polimer di negara kita merupakan pendorong utama kepada program ini. Selain itu, perkembangan pesat dalam bidang komposit berkaitan bahan polimer juga memerlukan sokongan dari jurutera yang berkemahiran tinggi bagi mengaplikasikan pengetahuan dan sumber bagi menyumbang kepada penyelesaian pelbagai permasalahan berkaitan kejuruteraan polimer.

 

5)   Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan

  • Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Pembuatan) -­ RK13
    Objektif utama program ini adalah untuk melatih pelajar dalam bidang kejuruteraan pembuatan melalui penjanaan dan penyebaran teknik-teknik berinovasi dalam pengajaran dan penyelidikan. Perjalanan kursus telah dirangka ke arah melahirkan jurutera yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari. Pelajar-pelajar dibekalkan dengan kebolehan merekabentuk, membangun dan melaksanakan sistem bersepadu yang menggabungkan unsur-unsur kemanusiaan, bahan, peralatan, maklumat dan tenaga.

Dengan itu, kemahiran yang diterapkan akan membantu melahirkan jurutera yang berkebolehan menangani sebarang masalah dalam pelbagai industri. Graduan kursus ini juga dilatih supaya bersikap profesional dalam menjalankan tugas dengan mempraktikkan proses pembelajaran berterusan sama ada secara formal atau tidak formal.

Graduan jurusan ini mempunyai pengetahuan berbentuk 'inter-disciplinary', berkebolehan dalam bidang teknikal, pengurusan industri dan teknologi. Graduan ini berpeluang untuk bertugas sebagai jurutera pembuatan dalam pelbagai industri seperti automotif, elektronik, farmasiutikal, tekstil serta industri pemprosesan makanan.

  • Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Rekabentuk Produk) – RK84

Objektif program ini adalah untuk melahirkan tenaga manusia di peringkat ikhtisas yang mahir serta mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang kejuruteraan rekabentuk produk. Para graduan juga akan diterapkan dengan budaya ilmu supaya mempunyai personaliti dan keperibadian yang unggul dan mampu berdikari sebagai usahawan profesional.

Terdapat permintaan yang tinggi untuk jurutera rekabentuk produk yang mempunyai ilmu pengetahuan asas dalam bidang teknologi pembuatan, sifat-sifat bahan, rekabentuk, pengujian, pemilihan dan pemprosesan bahan untuk menjadi produk kegunaan pelanggan seperti dalam industri automotif, aeroangkasa, elektronik dan sebagainya.

Prospek pekerjaan dan kerjaya para graduan setelah tamat kursus amatlah memberangsangkan.

6)   Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik

  • Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Mekatronik) -­ RK24
    Program ini bertujuan melahirkan tenaga profesional yang mahir dan mempunyai semangat profesionalisme yang tinggi serta mempunyai pengetahuan asas yang kukuh dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik. Justeru itu, struktur kurikulum telah dibentuk dengan memberi penekanan kepada pembelajaran secara ‘lab-intensive’ agar pelajar mempunyai kebolehan untuk merekabentuk, mengendali dan menyelenggarakan peralatan-peralatan elektrik & elektronik, mekanikal & kawalan, perisian komputer dan teknologi maklumat. Graduan mempunyai prospek pekerjaan yang luas sama ada dalam syarikat-syarikat swasta, industri, jabatan kerajaan atau badan-badan berkanun. Ia merangkumi bidang-bidang seperti bidang kejuruteraan, pengeluaran, penyelidikan, rekabentuk, analisis, pembangunan, pengujian dan lain-lain bidang yang berkaitan.

 

  • Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Mekanikal) – RK08
    Objektif program ini adalah bertujuan untuk melahirkan tenaga mahir di peringkat iktisas serta  mempunyai semangat profesionalisme dan pengetahuan asas yang kukuh dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

Struktur kurikulum juga dibentuk dengan memberi penekanan secara ‘lab-intensive’ agar para graduan mempunyai kebolehan serta kepakaran dalam merekabentuk dan menghasilkan produk serta mampu mengadaptasi perubahan-perubahan sektor pekerjaan yang bakal ditempuhi. Selain daripada itu, para graduan diwajibkan menjalani latihan industri bertujuan melengkapkan mereka dengan pengetahuan teknikal alam kerja sebenar di industri .

Para graduan mempunyai prospek pekerjaan yang meluas di sektor awam dan swasta iaitu industri pembuatan, pengeluaran, institusi pembangunan dan penyelidikan, jabatan-jabatan kerajaan, badan berkanun dan lain-lain. Graduan juga bakal memperolehi kompetensi ilmu asas ‘broad-based knowledge’ yang perlu dimiliki setelah tamat kursus. Graduan juga berpeluang menjadi perekabentuk dan pembangun segala aspek yang berkaitan mekanikal, thermal, aliran bendalir serta membangun produk-produk kejuruteraan dan produk pintar (smart products) yang mengintegrasikan bidang elektronik, mikropemproses, sistem kawalan dan bidang mekatronik.

  • Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan) -­ RK85
    Program Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan berperanan untuk menghasilkan jurutera yang berkemampuan tinggi dari sudut teori dan praktikal yang diperlukan oleh pihak industri samada dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, rekabentuk, pembuatan, penyelenggaraan, pemasaran dan pengurusan.  Struktur kurikulum yang dibentuk menekankan kaedah pengajaran dan pembelajaran ‘lab-intensive’ iaitu hampir keseluruhan subjek teras mempunyai komponen teori dan  amali.

Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan merupakan bidang baru yang menggabungkan ilmu kejuruteraan elektrikal, elektronik, mekanikal dan bahan serta ilmu perubatan seperti anatomi, fisiologi, dan radiologi. Hasil dari gabungan-gabungan ilmu tersebut digunakan untuk membangunkan teknologi terkini dalam bidang perubatan.

Bakal graduan  kursus ini mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi sebagai seorang jurutera bioperubatan dengan pengaplikasian kejuruteraan elektronik, pemahaman dari sudut sistem manusia dan biomekanik serta manipulasi bahan yang sesuai untuk tubuh manusia kepada instrumen bioperubatan dan peralatan perubatan yang lain. Selain daripada kursus teras kejuruteraan, pelajar diberikan juga kemahiran sokongan terutamanya di dalam bidang ‘soft skills’ seperti etika, pengurusan, keusahawanan, komunikasi dan IT.

Mereka yang bergraduasi dari program Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan bakal berkhidmat di hospital-hospital kerajaan mahupun swasta, syarikat-syarikat penyelenggaraan dan servis peralatan perubatan, institusi penyelidikan dan pembangunan produk perubatan serta juga kilang-kilang dan syarikat-syarikat berkaitan dengan peralatan elektronik.

7)   Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses

  • Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Bioproses) – RK28
    Program ini bertujuan melahirkan tenaga mahir di peringkat profesional serta mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang kejuruteraan bioproses dan juga bidang berkaitan seperti bioteknologi yang semakin berkembang selaras dengan pelan perindustrian negara dan Dasar Bioteknologi Negara. Untuk itu, graduan yang dilahirkan mampu untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran untuk berdepan dan menyelesaikan masalah kejuruteraan, terutamanya kejuruteraan bioproses. Disamping itu, graduan yang dihasilkan dapat memenuhi aspirasi negara menjadikan bidang bioteknologi sebagai suatu bidang dalam penjanaan sektor ekonomi negara melalui perkembangan bidang teknologi bioproses yang merupakan teras dan pendokong utama dalam proses pengkomersialan hasil penyelidikan bioteknologi.

Struktur kurikulum telah dibentuk dengan memberi penekanan kepada pembelajaran secara ‘lab-intensive’. Lebih kurang 60% dari masa pertemuan merupakan aktiviti praktikal yang merangkumi amali makmal, pembelajaran berbantu komputer, kerja bengkel, latihan industri dan projek yang berlandaskan rekabentuk atau penyelesaian masalah teknologi. Para graduan mempunyai prospek pekerjaan yang luas di mana keperluan terhadap tenaga profesional dalam bidang kejuruteraan bioproses amat tinggi selaras dengan matlamat kerajaan untuk memajukan bidang bioproses. 

  • Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Biosistem) – RKxx
    Program ini diperkenalkan untuk menghasilkan graduan yang profesional dan serba boleh dalam menangani bidang Kejuruteraan Biosistem yang meliputi pertanian, keselamatan makanan dan alam sekitar secara keseluruhan. Graduan berpengetahuan menggabungkan pengunaan prinsip-prinsip kejuruteran dan pelbagai aspek sistem biologi untuk menjamin kelasterian dan keselamatan sistem pengeluaran, mekanisasi dan automasi. Latihan secara ‘lab-intensive’ dan latihan industri akan menambahkan kemahiran para garaduan untuk menyesuaikan diri di alam perkerjaan dengan cepat.

Graduan program ini berpeluang menceburi bidang pertanian, perladangan, penyelidikan dan pengurusan biosistem selaras dengan matlamat negara untuk memajukan sektor industri pertanian. Keperluan terhadap tenaga profesional dalam bidang ini adalah dalam industri perladangan, jabatan-jabatan kerajaan , badan-badan berkanun, institusi-institusi penyelidikan (kerajaan dan swasta) dan badan perundingan.

8)   Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar

  • Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Alam Sekitar) – RK07
    Objektif program ini adalah bertujuan untuk melahirkan tenaga manusia di peringkat iktisas yang mahir serta mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar. Para graduan juga diterapkan dengan budaya ilmu supaya mempunyai personaliti dan keperibadian yang unggul dan mampu berdikari sebagai usahawan profesional. Kurikulum Kejuruteraan Alam Sekitar boleh dikaitkan dengan kurikulum yang dibina berpandukan falsafah pencegahan penjanaan sisa/sisa minuman dan pendedahan pelajar kepada aspek kejuruteraan sistem sekitaran (termasuk teknologi elektrik/elektronik/mekanikal/komputer instrumentasi/kawalan proses dan informatik sekitaran) serta kurikulum yang holistik dan unik.

Prospek pekerjaan dan kerjaya para graduan setelah tamat kursus amatlah luas kerana mereka dilatih secara multidisiplin yang melibatkan kajian mikrobiologi, kimia, ekologi selain dari prinsip-prinsip kejuruteraan. Antara sektor-sektor yang menawarkan peluang pekerjaan adalah seperti industri-industri berasaskan komoditi, industri petrokimia, industri kimia, industri olahan air, air sisa, sisa pepejal, sisa berbahaya, industri pemprosesan dan pembuatan, institusi-institusi penyelidikan dan pembangunan dan pendidikan, jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar, JPS dan JKR, badan-badan berkanun seperti MARDI, PORIM, SEDC, NIOSH dan lain-lain serta NGO sekitar dalam dan luar negara.

PUSAT-PUSAT PEMANTAPAN AKADEMIK
Selain dari pusat-pusat pengajian yang menawarkan program-program ijazah, terdapat beberapa pusat yang ditubuhkan bagi menyokong kepentingan akademik UniMAP iaitu:

  • Pusat Kemahiran Komunikasi & Keusahawanan
    Pusat Kemahiran Komunikasi & Keusahawanan (PKKK) adalah sebuah pusat perkhidmatan akademik. Ia tidak menawarkan apa-apa program akademik yang membawa kepada penganugerahan ijazah. Sebaliknya, ia menawarkan kursus-kursus keperluan universiti yang wajib diambil oleh semua pelajar termasuk Badan Berunifrom untuk pelajar Diploma dan ko-kurikulum untuk pelajar Ijazah Sarjana Muda tanpa mengira program akademik yang diambilnya. Selain itu, PKKK turut menawar kursus teras seperti Kemahiran dan Teknologi Dalam Komunikasi dan Jurutera Dalam Masyarakat untuk pelajar Ijazah Sarjana Muda.

  • Pusat Kerjasama Industri (Center For Industrial Collaboration, CIC)
    Pusat Kerjasama Industri berperanan menjalin hubungan dengan pihak industri dari pelbagai aspek, terutama dalam program-program yang berkait terus dengan pembelajaran pelajar. Program seperti Pendedahan Industri (IndEx), Program Syarahan Industri (InTeLect), Latihan Industri (InTra), Ceramah Industri (Industrial Talk), Latihan Staf Akademik (Staff Internship) dan lain-lain lagi diselia dan diselaraskan oleh pusat ini. Selain itu Program Keusahawanan Industri (IndEnt) juga diselaraskan oleh CIC dan ianya merupakan sebahagian daripada Kursus Keusahawanan Kejuruteraan. Sebahagian besar dari program ini wajib diikuti oleh semua pelajar. Maklumat mengenai program-program ini dihebahkan kepada pelajar dari masa ke semasa.
     

  • Pusat Kejuruteraan
    Pusat Kejuruteraan ditubuhkan bagi mengendalikan makmal dan bengkel umum (gunasama) yang diperlukan oleh pelbagai program yang ditawarkan di UniMAP. Oleh kerana program-program kejuruteraan yang dijalankan pada dasarnya menitikberatkan kepada kaedah 'lab-intensive', maka penekanan yang lebih diberikan kepada amalan praktikal secara intensif. Di samping itu, Pusat Kejuruteraan juga menyokong aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di UniMAP. Antara makmal yang terdapat di sini termasuklah Makmal Fabrikasi PCB, Makmal Teknologi Mikropemproses, Makmal Asas Komputer, Makmal CAD/CAM, Bengkel Kejuruteraan Elektrik, Bengkel Kejuruteraan Mekanikal, Makmal Kejuruteraan Pembuatan dan juga Teaching Factory.

  • Institut Matematik Kejuruteraan

Institut Matematik Kejuruteraan (IMK) adalah sebuah pusat bagi merancang menawaran dan pemantauan kurikulum matematik kejuruteraan di UniMAP. IMK juga berperanan sebagai institut penyelidikan matematik kejuruteraan dan juga sebagai pusat rujukan dan memberi khidmat kepakaran dalam bidang kaedah penyelidikan matematik, simulasi, kaedah statistik dan penyelidikan operasi. IMK juga sebagai pusat latihan bagi masyarakat kampus dan luar kampus dalam bidang yang berkaitan dengan matematik. IMK menawarkan kursus teras universiti seperti Matematik Kejuruteraan I, II & III bagi program ijazah.

MAKLUMAT LANJUT

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web UniMAP di www.unimap.edu.my atau menghubungi Pejabat Pendaftar (Unit Kemasukan & Rekod Pelajar) seperti alamat di bawah:

 

Jabatan Pendaftar
Bahagian Pengurusan Akademik
Unit Kemasukan dan Rekod Pelajar
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
Tingkat 1, Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Jalan Bukit lagi
01000 Kangar, Perlis

Tel: 04-979 8701/8702/8706/8008 (Talian Am)
Faks: 04-979 8703

DISCLAIMER: The above information may not be up-to-date. It merely serves as a guide. Tamiliyakkam.com shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from these contents. Kindly refer to the relevant government agencies for the latest ruling and requirements.